Harga Emas Semasa

Spot Gold4 Sep 2026 12:10
AS$ / ozAS$ / RMRM / ozRM / gram
4,468.80
-19.00
4.0450
+0.0018
18,076.30
-68.78
581.17
-2.21

Berita Harga Emas

Niaga Hadapan Emas Dijangka Diniagakan Sekitar US$4,345-US$4,375 Minggu Depan

KUALA LUMPUR, 15 Ogos -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mengalami turun naik antara US$4,345 dan US$4,375 setiap auns troy minggu depan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata harga emas semerta melepasi julat sasaran mingguannya iaitu US$4,250 hingga US$4,350 setiap auns troy.

"Pemacu utama jelas sekali adalah hasil Penggajian Bukan Ladang yang lemah, yang menyaksikan 23,000 kehilangan pekerjaan pada Julai dan penurunan berterusan dalam Kadar Penyertaan Tenaga Buruh.

"Minggu ini, Indeks Harga Pengguna dan Indeks Harga Pengeluar yang sederhana menunjukkan bahawa kenaikan kadar dalam Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada September tidak pernah menjadi kemungkinan yang kukuh atau pasti," katanya kepada Bernama.

Bagi asas mingguan, kontrak semerta bulan Ogos 2026 meningkat kepada US$4,358.7 setiap auns troy daripada US$4,322.90 setiap auns troy pada Jumaat lepas, dan kontrak September menokok kepada US$4,374.9 setiap auns troy daripada US$4,335.80 setiap auns troy.

Kontrak Oktober 2026 kekal pada US$4,390.6 setiap auns troy, manakala kontrak November 2026 berada pada US$4,349.20 setiap auns troy daripada US$4,390.6 setiap auns troy.

Kontrak Disember 2026 mengukuh kepada US$4,398.4 setiap auns troy daripada US$4,349.20 setiap auns troy.

Jumlah dagangan mingguan menyusut kepada 1,009 lot daripada 1,263 lot minggu lepas, manakala kepentingan terbuka merosot kepada 339 kontrak daripada 477 kontrak seminggu sebelumnya.

Harga emas fizikal ditetapkan pada US$4,437.0 setiap auns troy pada penetapan London Bullion Market Association pada 13 Ogos 2026.

-- Bernama


Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah Hari Kedua Berturut-turut

KUALA LUMPUR, 14 Ogos -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada hari kedua berturut-turut berikutan pelabur menilai data ekonomi Amerika Syarikat (AS).

Menurut peniaga, niaga hadapan emas menyusut menjelang akhir minggu walaupun semakin kurang pelabur menjangkakan Rizab Persekutuan (Fed) AS akan menaikkan kadar faedah pada September.

"Lebih banyak data pekerjaan akan dinilai oleh pelabur sebelum mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan datang.

"Sementara itu, kenyataan Pengerusi Fed Kevin Warsh pada simposium Jackson Hole ke-48 bank pusat itu pada akhir bulan ini juga akan diberikan perhatian untuk mendapatkan petunjuk mengenai prospek kadar faedah,” katanya.

Pada akhir dagangan, kontrak bulan semerta Ogos 2026 menyusut kepada US$4,358.7 setiap auns troy daripada US$4,388.80 setiap auns troy manakala September 2026 merosot kepada US$4,374.9 setiap auns troy daripada US$4,405.00 setiap auns troy sebelumnya.

Kontrak Oktober dan November 2026 masing-masing turun kepada US$4,390.60 setiap auns troy daripada US$4,421.20 sebelumnya manakala Disember 2026 susut kepada US$4,398.40 setiap auns troy daripada US$4,429.90

Jumlah dagangan meningkat kepada 267 lot daripada 218 lot semalam manakala kepentingan terbuka naik kepada 339 kontrak daripada 301 kontrak sebelumnya.

Harga emas fizikal ditetapkan pada US$4,437.0 setiap troy auns pada penetapan petang London Bullion Market Association pada 13 Ogos 2026.

-- Bernama


Harga emas lonjak semula cecah paras tertinggi tujuh minggu RM560.18 segram

BENGALURU, 6 Ogos -- Harga emas meningkat bagi sesi keempat berturut-turut pada Khamis dan mencecah paras tertinggi dalam tempoh tujuh minggu, disokong kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS), penurunan hasil bon Perbendaharaan serta harapan pembukaan semula Selat Hormuz.

Harga emas semerta meningkat 0.5 peratus kepada AS$4,265.22 seauns (RM560.18 segram) pada jam 3.30 pagi GMT selepas menyentuh paras tertinggi sejak 18 Jun.

Pada Rabu, logam berharga berkenaan mencatatkan kenaikan harian terbesar sejak Februari. Niaga hadapan emas AS turut meningkat 0.5 peratus kepada AS$4,324.60 seauns, bersamaan kira-kira RM567.98 segram.

Penganalisis Pasaran IG, Tony Sycamore, berkata kenaikan mendadak itu didorong peningkatan keyakinan bahawa satu kejayaan diplomatik di Asia Barat semakin hampir untuk dimuktamadkan.

"Kenaikan mendadak itu berlaku susulan peningkatan keyakinan bahawa satu kejayaan diplomatik di Asia Barat semakin hampir untuk dimuktamadkan. Keadaan ini dijangka terus memberi tekanan menurun terhadap harga minyak dan mengurangkan keperluan bank pusat menaikkan kadar faedah, sekali gus memberikan sokongan jelas kepada emas," katanya.

Sycamore berkata, kenaikan kukuh melepasi purata pergerakan 200 hari boleh membuka ruang kepada pemulihan lebih besar menuju paras AS$5,000 seauns (RM656.69 segram).

Cadangan perjanjian antara Iran dan Oman bagi membantu menamatkan konflik selama lima bulan antara Iran dan AS dilaporkan akan memberi Tehran kawalan terhadap kapal yang memasuki Teluk menerusi Selat Hormuz. Seorang sumber kanan Iran dan dua pegawai serantau memaklumkan perkara itu kepada Reuters.

Harga emas semerta merosot 19 peratus sejak konflik AS-Iran bermula pada 28 Februari, berikutan kebimbangan inflasi yang didorong kenaikan harga tenaga akan menyebabkan kadar faedah meningkat.

Emas lazimnya mencatatkan prestasi lebih baik dalam persekitaran kadar faedah rendah kerana aset berkenaan tidak memberikan pulangan faedah.

Jangkaan pasaran terhadap kenaikan kadar faedah AS pada September menurun kepada 55 peratus daripada 67 peratus dua hari sebelumnya. Hasil bon penanda aras AS bagi tempoh 10 tahun turut menurun, manakala Indeks Dolar AS berada di bawah tekanan.

Dolar AS yang lebih lemah menjadikan komoditi dalam denominasi mata wang berkenaan lebih murah kepada pemegang mata wang lain.

Pelabur kini menunggu laporan pekerjaan bukan ladang AS bagi Julai yang dijadualkan diumumkan pada Jumaat. Laporan pekerjaan nasional ADP sebelum ini menunjukkan pertumbuhan pekerjaan sektor swasta AS perlahan pada Julai.

-- BHarian